Antara Pinochet dan Mahathir
by Ronin Cyber
Nov 25, 04 1:41pm
Apabila jet eksekutif kerajaan yang membawa Pak Lah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino, Chile untuk persidangan Apec baru-baru ini, beliau mendapati dirinya bagai berada di sebuah negara yang seolah-olah yang sudah begitu lama dikenalinya.
Seperti tanah kelahirannya, Chile dan Malaysia berkongsi sejarah yang hampir serupa. Pada suatu ketika dahulu, kedua-dua negara ini pernah dijajah oleh kuasa asing dari negara Latin. Penjajah Chile adalah Sepanyol manakala bangsa yang menjajah Malaysia adalah Portugal.
Kedua-dua kuasa penjajah ini mempunyai bahasa, kebudayaan dan agama yang hampir serupa. Jika beliau meluangkan masa untuk bersiar-siar di kota Santiago, pasti beliau merasakan suasana yang hampir serupa dengan keadaannya di Melaka.
Bangunannya mempunyai unsur-unsur senibina yang hampir serupa dengan bangunan di negeri kelahiran Hang Tuah itu.
Malaysia dan Chile juga berkongsi sejarah moden yang hampir sama. Sejarah moden kedua-dua negara ini didominasi dan diwarnai oleh tokoh yang memerintah untuk tempoh yang begitu lama. Di Chile, tokohnya adalah Augusto Pinochet. Jeneral Pinochet adalah anak seorang pegawai kastam yang merampas kuasa daripada kerajaan berhaluan kiri pimpinan Presiden Allerde pada awal 70-an.
Manakala di Malaysia pula, tokohnya adalah Dr Mahathir Mohamad. Mahathir adalah anak seorang guru besar. Beliau bukanlah seorang jeneral tetapi merupakan seorang doktor di Klinik Maha. Tetapi namanya, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Sanskrit, membawa maksud seorang pahlawan yang gagah perkasa.
Barangkali persamaan yang paling rapat ialah tempoh pemerintahan mereka. Pinochet memerintah selama 17 tahun. Mahathir pula selama 22 tahun. Kedua-duanya membawa perubahan yang amat besar kepada negara mereka. Pinochet melihat dirinya sebagai seorang 'patriot', kerana telah menghapuskan unsur-unsur komunis di negaranya.
Begitu juga Mahathir. Beliau telah menumpaskan komunis tanpa senjata. Komunis menyerah diri di Haadyai pada 1989 melalui satu perjanjian damai. Begitulah hebatnya kedua-dua negarawan ini.
Tetapi jasa terbesar yang mereka sumbangkan kepada negara adalah dari segi ekonominya. Di bawah Pinochet, ekonomi Chile adalah yang paling mampan di benua Amerika Selatan.
Dengan bantuan penasihat-penasihat pribumi yang dilatih di Universiti Chicago atau lebih dikenali sebagai 'the Chicago Boys', beliau melaksanakan satu reformasi ekonomi yang tidak pernah dilihat di benua Amerika Latin itu.
Gaji minimum dihapuskan, kesatuan pekerja diharamkan, syarikat kerajaan diswastakan, pelaburan asing digalakkan dan matawang negara ditambat.
Hasilnya ialah apa yang digelar oleh tokoh ekonomi terkemuka serta pemenang Hadiah Nobel, Milton Friedman, sebagai 'The Miracle of Chile' atau Keajaiban Chile. Pendapatan per kapita rakyat meningkat 94 peratus antara 1980 hingga 2000.
Kentalnya ekonomi Chile terbukti apabila ia langsung tidak dilanda krisis hutang dan matawang sepertimana yang dialami oleh negara Amerika Latin lain seperti Argentina, Mexico dan Brazil pada dekad 80-an dan 90-an. Chile langsung tidak memerlukan bantuan IMF seperti jirannya yang lain.
Begitu juga Malaysia. Cara Mahathir mengtranformasi ekonomi Malaysia juga hampir serupa dengan cara Pinochet. Di bawah Mahathir, penswastaan diperkasakan. Kesatuan pekerja dalam industri sensitif diharamkan. Pelaburan asing digalakkan. Hasilnya juga hampir serupa seperti apa yang dicapai di Chile.
Ekonomi berkembang. Perdagangan meningkat. Pengangguran berkurang. Inflasi rendah. Kekayaan bertambah. Malaysia pula digelar oleh Bank Dunia sebagai salah satu keajaiban di Asia. Dan apabila taufan krisis matawang melanda Asia Tenggara pada hujung dekad 90-an sehingga mengakibatkan Indonesia, Thailand dan Korea Selatan melutut kepada IMF, Malaysia seolah-olah kebal dari mengambil preskripsi yang hampir serupa.
Jalan keluar Malaysia adalah mudah. Ambil sahaja preskripsi Pinochet dengan menambat matawang. Atau dalam bahasa Inggerisnya, 'Malaysia's solution was Pinochet's prescription'. Itulah jasa Mahathir yang paling besar, kata Nor Mohd Yakcop, Menteri Kewangan Kedua negara dalam tulisannya di akhbar The Edge tahun lepas.
Kini kedua-dua tokoh ini sudah tiada di persada politik nasional. Kini kedua-duanya sudah bersara. Pinochet pada usia 84 tahun masih bertarung dengan Mahkamah Agung negaranya yang begitu berkeinginan untuk mendakwanya atas jenayah pelanggaran hak asasi manusia.
Mahathir pula menghabiskan masa persaraannya berceramah di pelbagai forum antarabangsa di seluruh pelosok dunia walaupun pada masa yang sama, pelbagai NGO dan golongan pembangkang di dalam dan di luar negara mengecamnya kerana merobak pelbagai institusi kerajaan dan mengekalkan pelbagai akta drakonian tinggalan penjajah seperti ISA dan OSA.
Barangkali itulah titik nokhtah persamaaan Malaysia-Chile dan Mahathir-Pinochet. Masyarakat Malaysia masih tebal dengan nilai Asianya. Mereka masih berpegang teguh dengan akar budaya. Tidak mungkin jasa selama 22 tahun ditongsampahkan begitu sahaja. Bak kata pepatah 'budi yang baik dikenang juga.'
Masyarakat Malaysia memang tidak mudah lupa. Mahathir merupakan tokoh politik yang licik. Di sebalik persaraannya, beliau masih dilihat sebagai seorang yang berkuasa. Dan mungkin benar apa yang tertulis di bait-bait pantun di bawah ini bahawa manusia yang bernama Mahathir memang bermaksud seorang pahlawan yang gagah perkasa.
Bunga Kamunting di luar pagar,
Kembang mewangi semerbak sunyi,
Dengan helah pencak pendekar,
Takkan tergugat pahlawan sejati.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home