Pelan Pembangunan Johor yang digeruni Singapura
Pelan Pembangunan Johor yang digeruni Singapura
Contributed by putra_nazi on Friday, May 05 @ 09:16:52 MYT
Topic: KOMENTAR
Antara Maruah dan Jambatan dan Keputusan Kontroversi.
Keputusan Kerajaan Malaysia di Bawah kepimpinan Datuk Seri Hj Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi pada 12 April 2006 berkaitan Pembatalan Muktamad pembinaan Jambatan menggantikan Tambak Johor lalu, mencipta satu sejarah baru Kepimpinan UMNO selepas krisis besar UMNO 1987 dan krisis 1998. Keputusan kontroversi dibuat selepas isu jambatan dibincangkan hangat di Parlimen khususnya oleh MP dari Johor. Menteri Luar sendiri turut memberi jaminan untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut secara muktamad walaupun jika hanya separuh di sebelah Johor.
Namun selepas melalui beberapa siri rundingan dengan perunding Singapura, mereka tidak berasa senang hati dengan keputusan kita meneruskan pembinaan jambatan baru, sebaliknya mereka meletakkan syarat baru untuk merestui pembinaan jambatan yang lurus dengan kos bersama tetapi dengan syarat kerajaan Malaysia membenarkan penggunaan ruang udara Johor dan penjualan pasir sebanyak 50juta Tan Metrik setahun selama 20 tahun untuk kerja penambakan di Negara mereka.
Lantaran timbulnya syarat ini, Perhubungan UMNO Negeri Johor terus bermesyuarat tergembar dan membuat satu resolusi menolak 2 syarat tersebut, namun masih mahu jambatan baru terus dibina. Rakyat Johor tidak rela menjual kedaulatan di atas 2 syarat tersebut.
Pada masa yang sama Rakyat Johor beranggapan perunding Kerajaan Malaysia akan terus membina jambatan baru melalui opsyen lain lantaran setelah rakyat Johor menolak syarat penggunaan ruang udara dan pasir. Rakyat Johor tidak dimaklumkan akan implikasi jika menolak syarat tersebut akan menjurus kepada pembatalan terus pembinaan jambatan tersebut.
Namun pada 12hb April 2006 lalu dengan tidak disangka-sangka, Perdana Menteri telah membuat keputusan rasmi akan pembatalan terus jambatan baru tanpa prejudis dan tiada siapa yang dibenar mempertikai keputusan tersebut dengan alasan atas kehendak rakyat. Tiada lagi rundingan dan tidak akan ada lagi perbincangan yang boleh diteruskan dengan perunding Singapura.
Ini menunjukkan kerajaan baru di bawah kepimpinan Pak Lah yang telah cuba menggunakan pelbagai pendekatan berlembut dengan jiran tersebut contohnya melalui program sukan golf antara kedua-dua kerajaan ternyata tidak mendatangkan kesan yang positif.
Sikap Singapura yang suka berdolak dalik dalam banyak perkara semenjak kepimpinan pertama Negara Tunku Abd Rahman lagi hinggalah kini amat jelas tidak boleh diubah oleh mana-mana kepimpinan Negara kita lagi. Pendirian mereka amat tegas dan mantap tidak berganjak walau sedikitpun dari dasar yang telah mereka tetapkan semenjak berpisah dari Malaysia. Sikap kita yang banyak beralah akhirnya memakan diri sendiri dan akhirnya kerajaan Malaysia sudah putus harap dan menemui jalan buntu untik berurusan dengan mereka lagi.
Moralnya di sini Singapura telah memenangi perang psikologi yang pertama dan Malaysia telah pun kalah untuk tahap ini. Singapura lebih mantap dan bijaksana dalam mencatur kepentingan dua hala yang semestinya keuntungan mesti berpihak kepada mereka. Sekarang mereka telah pun bersiap sedia untuk kemenangan pusingan kedua jika berlaku apajua bentuk tindak balas dari pihak Malaysia. Negara mereka dirancang sedemikian rapi hingga tak nampak cacat celanya dari segi pentadbiran dan pengurusan samada pengurusan di peringkat dalam negeri mahupun luar Negara.
Rentetan dari kemelut yang melanda dalam isu ini, terdapat terlalu banyak persoalan dan pengajaran yang boleh diambil untuk rumusan, di mana silapnya? Kita pada hari ini. Singapura tidak wajar dipersalahkan kerana memang sikap mereka sudah sedemikian rupa sejak azali lagi. Di pihak kita terlalu banyak perkara yang harus diperinci, dikaji dan diperbincangkan dalam berdepan dengan sikap jiran yang sedemikian itu. Terlalu banyak lompang-lompang kosong kelemahan kerajaan Malaysia dulu dan pada hari ini. Di sini peri pentingnya sejarah yang kita kongsi bersama Singapura harus dikaji dengan teliti. Kita kalah dengan mereka natijah dari hasil kajiselidik mendalam mereka terhadap setiap inci sejarah kita dari segi sifat-sifat Politik pemimpin Melayu, Budaya, Bahasa, adat dan resam termasuklah kajian genetik terhadap bangsa Melayu untuk mengenal baka sifat dan sikap bangsa kita. Apa yang ada dalam benak pemikiran Pemimpin Melayu pada hari ini berada di hujung jari mereka dan tersimpan baik dalam pengkalan Data Komputer kerajaan mereka. Kelemahan dan kekuatan kita dalam genggaman mereka walau sebijak manapun kita memerintah Negara..
Bukan nak mengagung-agungkan Singapura, namun dalam bab ini kita harus akur yang pemikir bijak pandai mereka adalah lebih hebat dari kita. Pakar-pakar perancang strategik mereka lebih cemerlang dari kita. Ini semua harus dijadikan iktibar dan kayu pengukur untuk kita memajukan diri agar mampu bersaing dengan mereka.
Dari segi ekonomi, kita telah ketinggalan 1 dekad dari mereka. Mereka adalah di antara Negara pelabur yang tidak berhutang dengan mana-mana Bank dalam dunia. Sumber kekayaan dan asset mereka berada di seluruh pelusuk dunia. Jika kita nak bersaing dengan mereka dari segi ekonomi, adalah mustahil kita mampu, sedangkan hampir separuh dari negeri Johor ini adalah milik mereka dari segi asset-asset kekal dan perniagaan serta pelaburan yang telah berlangsung. Boleh dibilang dengan jari asset-asset Melayu yang masih kekal dalam Negeri Johor. Polisi kerajaan membenarkan rakyat asing membeli hartanah berstatus hakmilik kekal adalah amat membimbangkan. Kesannya sudah dirasai kini. Betapa susahnya usahawan Bumiputera untuk menyewa premis perniagaan Di Johor kerana ianya bukan lagi milik bangsa kita. Keutamaan penyewa adalah dari kaum mereka.
Pembangunan Johor yang telah dirancang secara Holistik nampak tidak menjadi pada hari ini. Segala yang telah dirancang hasilnya bukanlah muktamad, lantaran kerana Kerajaan Negeri masih tertakluk kepada keputusan kerajaan Pusat dari segi hak penetapan persisiran antarabangsa Johor, peruntukan pembangunan dan keputusan memilih pemimpin tertinggi Negeri. Pembangunan Johor Selatan telah mula dirangka sejak tahun 2000 lagi yang mana melibatkan pembangunan persisir Pantai Lido, Stulang dan Selat Tebrau, Pasir Gudang, Gelang Patah hingga ke Pontian dan Batu Pahat. Pembangunan yang dimaksudkan termasuklah pakej pembinaan Jambatan Baru (Jambatan Sultan Iskandar) bagi menggantikan Tambak Johor.
Namun rancangan dan impian rakyat Johor melihat Johor Maju 2010 tersentak lantaran keputusan dramatik Kerajaan membatalkan pembinaan jambatan tersebut. Rata-rata rakyat Johor mengharapkan Pembangunan yang dirancang bernilai lebih RM24 billion untuk jangkamasa sehingga 15 tahun dapat disiapkan dengan jayanya. Marilah kita melihat sejenak apa yang terkandung dalam sebahagian Pelan Pembangunan Johor Selatan. Kita saksikan sendiri kenapa projek ini penting dan kita juga patut tahu kenapa sebahagian rakyat khususnya rakyat Johor berasa kecewa dan hampa dengan keputusan pembatalan jambatan oleh kerajaan. Seluruh rakyat Malaysia harus tahu akan kepentingan Pembangunan ini. Rakyat tidak akan mempertikai satu-satu keputusan tanpa sebab yang munasabah dan kukuh. Data-data yang dipamerkan di bawah ini adalah sebahagian sebabnya rakyat Johor kecewa.
Melalui fakta-fakta di atas, Perancangan Pembangunan ini akan menjadi berdayamaju dan berkesan jika Jambatan Baru dapat dibina dan Selat Tebrau boleh dilalui kapal-kapal dagang antarabangsa. Itu adalah jaminan asas terhadap Pelabur luar Negara untuk melabur di Johor Selatan ini. Perairan Selat Tebrau mestilah bersih dan indah pantainya serta boleh digunakan untuk mandi manda. Syarat ini adalah syarat wajib yang harus dipenuhi oleh Kerajaan Pusat jika benar-benar berhasrat membangunkan Johor Selatan.
Pelan rancangan 15 tahun Selatan Johor inilah yang menjadi fobia kepada kerajaan Singapura untuk merangka strategi bagi menggagalkan pembinaan jambatan baru mengganti Tambak Johor yang kononnya penuh nostalgia dan bersejarah itu.
Pelan Pembangunan ini merupakan satu tamparan dan cabaran persaingan hebat Kerajaan Malaysia terhadap Singapura selepas Pelabuhan Tanjung Pelepas berjaya menarik Mearsk Sealand dan Evergreen dari genggaman mereka. Semasa mereka tiada halangan membenarkan pembinaan Jambatan sebelah Johor dan merobohkan tambak selepas 2007 melalui surat persetujuan dengan Tun Dr Mahathir pada tahun 2001, PTP dilihat tidak mampu bersaing dengan pelabuhan mereka. Maka mereka membenarkan. Ternyata andaian mereka meleset sama sekali apabila PTP mula menunjukkan taringnya dan sedikit sebanyak mereka telah tergugat.
Namun apabila Pelan pembangunan Johor Selatan pula yang muncul dengan dirangka secara strategik dan tersusun, mereka semakin gelisah dan mimpi ngeri sentiasa menjadi igauan mereka setiap hari. Pusat perdagangan antarabangsa, bank-bank persisir, taman tema, marina, kompleks-kompleks bebas cukai, industri pelancongan, perhotelan dan pusat-pusat konvensyen antara bangsa akan bertumpu di Selatan Johor dan menjadi pesaing yang hebat kepada mereka lantaran tarikan harga dan tawaran kos yang berkali ganda lebih murah dari mereka.
Perjalanan kapal-kapal dagang ke sebelah Asia Pasifik adalah lebih singkat dan dekat. Dengan kemudahan prasarana pelabuhan yang yang lengkap dari Pelabuhan Batu Pahat (Minyak Beku), PTP, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat, Johor akan menjadi tarikan utama di atas faktor harga dan kos penyelenggaraan dan perkhidmatan yang murah Yang pasti pembangunan Singapura yang bertumpu di bahagian selatan sudah tidak menjadi tarikan lagi di atas faktor mahal, jauh dan melambatkan perjalanan. Senai airport yang bakal dibangunkan akan menjadi salah satu pakej rangkaian kargo yang mampu bersaing dan menjadi terminal antarabangsa yang hebat kesan dari limpahan pembangunan ini.
Di atas keresahan dan faktor ‘kiasu’ maka Singapura dalam keadaan terdesak akan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk menghalang impian rakyat johor ini menjadi kenyataan. Yang pasti mereka bakal menanggung kerugian berbillion Dollar jika Pelan ini menjadi kenyataan. Itu sudah pasti dan merupakan fakta yang sememangnya sudah tercatat dalam buku sejarah mereka yang menjadikan tambak Johor sebagai isu keselamatan Negara. Mereka akan mencipta bermacam helah dan strategi samada melalui perundangan malah ketenteraan jika perlu bagi melindungi keselamatan ekonomi mereka ini.
Faktor pembangunan Johor Selatan kini sudah dipatriotkan oleh kerajaan Singapura agar menjadi agenda utama keselamatan Negara untuk survival. Peruntukan perbelanjaan pertahanan sebanyak 5% dari KDNK bagi sebuah Negara bersaiz 648km persegi (RM25billion setahun) adalah agak luarbiasa dan tidak munasabah bagi kawasan zon yang aman seperti ASEAN ini. Kerajaan Singapura senantiasa menganggap jiran terekat khususnya Malaysia adalah ancaman. Kelebihan yang ada pada kita adalah ancaman. Kesepakatan kita dengan jiran-jiran lain juga adalah ancaman. Hinggakan nyamuk Malaysia yang melintasi sempadan mereka dilihat umpama jet pejuang kita yang masuk menyerang mereka.
Lantaran fakta perhubungan yang tidak pernah ikhlas ini, Kerajaan Malaysia seharusnya memikirkan sesuatu. Apakah jalan terbaik untuk berdepan jiran yang tidak ikhlas ini? Jika keputusan kerajaan pada hari ini adalah untuk terus mengalah dengan mereka, akur dengan kehendak mereka, maka akan selama-lamanyalah kita akan terus mengalah dan kekal kalah dalam persaingan global.
Dasar kerajaan cukup hebat dalam melahirkan wawasan pembangunan modal insan agar melahirkan generasi yang hebat dan bermartabat. Isu Ini sebenarnya adalah titik mula melahirkannya. Kebijaksanaan kita menangani Singapura adalah kayu pengukur samada kita mampu menjadi bangsa yang bermartabat dan bermaruah. Pemimpin Kerajaan harus memulakan dulu apajua dasar baik yang hendak dilaksanakan. Keputusan bijak kerajaan berwawasan dalam banyak perkara menggambarkan rakyat juga berwawasan. Rakyat tidak akan mempunyai pemikiran kelas pertama jika pemimpin belum mempunyainya.
Setiap keputusan yang kontroversi harus cuba dielakkan oleh pemimpin Kerajaan. Keputusan yang tidak telus dan penuh agenda tersirat akan mengundang konspirasi rakyat jelata yang mengikuti setiap isu. Malah lebih buruk kesannya terhadap rakyat yang terlibat secara langsung dengan keputusan tersebut. Fakta dan kebenaran yang jelas dan boleh diterima akal rakyat harus di sampaikan dengan menyeluruh. Senarai dan hebahkan kebaikan dan keburukan satu-satu keputusan yang bakal diambil. Kerajaan untuk rakyat oleh rakyat harus ditadbir dengan adil dan saksama dan rakyat adalah keutamaan dalam segala hal.
Berbalik soal Pelan Pembangunan Johor Selatan yang terbantut buat masa ini, eloklah jika ditangguhkan dahulu agar tidak berlaku pembaziran yang bakal mengundang lebih banyak “gajah Putih” di halaman Johor Selatan ini. Tidak dapat tidak, jambatan baru dan pembebasan Selat Tebrau adalah kunci bagi segala perancangan yang bakal dilaksanakan. Selesaikan dulu isu ini, baru mulakan yang lain-lain. Ketua Menteri Melaka amat berminat dengan dana yang ada ini untuk memajukan Jambatan sebelah mereka ke Dumai Sumatera. Namun Johor bagaimana? Setelah rakyat dijanjikan pelbagai rahmat hasil dari kesetiaan dan paksi kekuatan tunjang kerajaan UMNO pada hari ini, adalah tidak adil jika rahmat yang dibawa kerajaan tergantung-gantung seperti tiada jalan penyelesaian lagi.
Selain merasa maruah diri dipijak-pijak oleh Singapura. Keputusan yang kurang tepat dan tidak memihak kepada hasrat rakyat Johor, amat menyakitkan dan mengguris hati. Rakyat johor yang saban hari melalui sejarah bersama-sama rakyat Singapura, merasa terhina dan sedih akan keputusan mengalah ini. Rakyat Johor yang memiliki semangat keMelayuan yang tinggi di mana rata-rata memiliki semangat perjuangan Dato’ Onn dan meyimpan roh perjuangan UMNO yang tinggi seperti yang ditunjukkan dalam sejarah penentangan Malayan Union dan Peristiwa berdarah 13 Mei, nyata lebih merasai kesan pembatalan yang dikira tidak bermaruah itu.
Keputusan 12 April 2006 menjadi titik hitam kepada sejarah Negara khususnya bagi rakyat Johor. Belum pernah rakyat Johor tercabar sebegini hebat maruah dan kedaulatan Rajanya, selain dari pencerobohan ruang udara yang sering berlaku. Darah pejuang yang mengalir bagai tersingkap hingga ke mata lantaran berputih mata melihat wawasan anak bangsa yang bakal memakmurkan seluruh keturunan mereka hingga akhir zaman, musnah begitu saja sebelum sempat berjuang. Dalam benak batu jemala mereka “ dayus kah aku” membiarkan maruah tercalar begitu sahaja. Cukupkah dengan hanya berdoa dapat mengubati hati yang luka ini.
Walaubagaimanapun terlajak perahu boleh diundur terlajak keputusan malu alah akibatnya. Kerajaan sudah pasti tidak akan mengubah pendirian kerana berubah-ubah pendirian akan memalukan mereka yang membuat keputusan. Ego dan maruah adalah tiang seri segala martabat insan. Tidak kira orang besar atau orang kecil sama sahaja Mereka ada maruah yang perlu dipertahankan. Jika kerajaan merubah keputusan mereka dianggap tidak bermaruah kerana tiada pendirian tetap. Oleh yang demikian Maruah yang sudah tergadai tidak akan boleh dibayar dengan maruah yang bakal tercalar kepada mereka-mereka yang membuat keputusan ini.
Kesudahannya Melayu akan kekal dengan angan-angan Mat Jeninnya, menanti buah yang tak luruh dan mempersabungkan nasib menggadai maruah kampong sendiri demi hasrat yang bukan hak mereka menentukan tetapi Singapura yang menetapkan. Kisah ini boleh diumpamakan seperti Negara Palestin yang tidak berhak ke atas tanah airnya sendiri. (Penjajahan)
Setelah Malaysia merdeka 49 tahun, kenapa titik hitam sejarah lampau harus berulang kembali mencabar kedaulatan agama bangsa dan Negara? Di mana Silapnya?. Jika dikaji sejarah lampau kelumrahan penjajahan berlaku lantaran wujudnya petualang-petualang di kalangan bangsa sendiri yang tidak bermaruah melacurkan kedaulatan dan kemerdekaan sesebuah Negara. Penjajah tidak berupaya menembusi kekuatan sesebuah Negara sebelum kekuatan itu dipecahbelah dan dihuru-harakan oleh petualang-petualang tadi. Moralnya itulah kelaziman yang sering berlaku dalam satu-satu perhubungan yang tidak ikhlas dan penuh dengan agenda tersirat dan kepentingan.
Dalam konteks rakyat Johor, mereka menjadi mangsa keadaan natijah dari kepimpinan negara yang tidak telus dan ikhlas memperjuangkang kedaulatan. Terlalu banyak persoalan dan kepelikkan yang tidak dapat diterima oleh akal waras rakyat Johor. Rakyat mengikuti perkembangan isu dengan fokus dan penuh teliti dan berhati-hati, setelah dibelek, ditelek, satu ketika teruskan, kemudian ditangguhkan dan akhirnya dteruskan semula dan muktamadnya dibatalkan terus dengan pelbagai alasan yang tidak meyakinkan. Alasan pasir dan ruang udara ditolak rakyat Johor maka usul dibatal. Ada juga alasan sebab-sebab komplikasi undang-undang. Ada juga alasan sebab-sebab politik. Ada juga alasan sebab-sebab keselamatan Negara. Ada juga didengar Bapak Yahudi dah beri amaran. Ada juga terdengar-dengar projek tersebut akan beri kredit kepada pemimpin terdahulu dan kroni-kroninya hinggakan pemimpin sekarang melopong tidak dapat apa-apa. Ada juga orang berkata Perundingan pasir sudah sampai peringkat teknikal, bila rakyat Johor menolak, semua agenda dikira batal. Maksudnya ada pelobi yang sudah mencongak untung pasir tiba-tiba tak kesampaian. Atas dasar marah dan dendam, diusahakan agar semua terbatal. Ada juga orang berkata atas alasan Singapura dah menguasai separuh kepentingan Negara dalam GLC dan syarikat antarabangsa yang melabur dalam Negara, Singapura adalah pelabur kedua terbesar selepas Amerika syarikat, maka segala keputusan kerajaan yang melibatkan kepentingan mereka adalah tertakluk kepada kepentingan pelaburan mereka di Negara ini.
Andaian yang lebih dahsyat membabit isu ini adalah perunding yang terlibat telah menerima laba dan kepentingan yang besar untuk 7 keturunan dengan syarat menggagalkan Pelan Pembangunan Johor Selatan ini. Juga yang paling sedih khabar-khabar kemelut pertelagahan Mantan PM dan PM hari ini bersama kroni dan keluarga masing-masing yang melibatkan maruah ego dan kepentingan pada harta duniawi masing-masing. Bermakna percaturan dan pertelagahan Team A dan Team B berulang kembali dalam UMNO sehingga sanggup menjual maruah dan kedaulatan Negara. Ada yang lebih hebat mentafsir ini semua perancangan Menteri Luar dan Menantu PM sendiri yang mungkin menjaga kepentingan mereka dalam kepentingan Singapura.
Segala telahan dan andaian bersarang dalam kepala Rakyat Johor lantaran tidak ada satu input munasabahpun yang datang dari pihak Kerajaan yang mampu meyakinkan rakyat dalam menangani isu Pembangunan Johor selatan. Hingga ke hari ini rakyat semua diarahkan diam dan jangan sesekali mempertikai keputusan kerajaan. Jika benar rakyat disekat dari bersuara dan mendokong prinsip demokrasi demi memartabatkan maruah bangsa (UMNO), maka sebenarnya kita memang telah terjajah dan menjadi sebahagian Singapura. Sebab inilah juga bentuk dan kaedah pemimpin Singapura memimpin Negara mereka. Siapa berani mempertikai keputusan dan dasar kerajaan di singapura. Siapa yang berani lantang bercakap di Singapura. Jika inilah yang terjadi maka amatlah malang dan sedih nasib yang menimpan bangsa Melayu pada hari ini.
Hanya yang membezakan Malaysia dengan Singapura sekarang ini, Malaysia masih ada Raja dan Sultan. Singapura hanya ada Presiden. Kedaulatan Sultan dan Raja adalah tidak boleh disamakan dengan kedaulatan Presiden. Tiada ungkapan rakyat untuk menyatakan ‘Daulat Sir’ sebaliknya ‘Daulat Tuanku’ masih menjadi kata-kata keramat bangsa Melayu yang masih beraja pada hari ini. Rakyat Johor Khususnya harus cekal, setia dan berani mempertahankan ‘Daulat Tuanku’ dari anasir-anasir penjajahan. Sultan dah banyak belajar dari sejarah. Jika dulu Sultan Hussein telah diperdayakan oleh Temenggung Abd Rahman menjualkan Singapura kepada Syarikat British, kini dengan Daulat yang ada bukan hanya Sultan dan Raja yang akan mempertahankan kedaulatan, malah rakyat jelata juga sanggup berkorban mempertahankannya.
Namun kaedah penjajah yang sinonim dan lazim melalui modus operandi “divide & rule” jangan sesekali kita lupa dan leka. Jika kepimpinan yang memegang kuasa sudah berpecah menjadi team A & B, maka senanglah mereka menjajah. Kita harus sedar dan insaf adakah team A & B itu juga agenda dari mereka? Adalah malang jika kita tidak menyedari lagi. Seperti lumrah mereka akan menaja pelobi atau proksi mereka dalam Negara untuk melaksanakan proses memecahbelah ini. Siapakah mereka ini? Sudah tentu pemimpin yang sanggup berkongsi rahmat dengan musuh untuk kepentingan sendiri. Hati mereka sudah kelabu, mata mereka sudah tak nampak kebenaran dalam perjuangan. Yang nampak musuh jadi kawan dan kawan menjadi musuh. Itulah sifat-sifat Melayu Unggul yang lahir dari pemikiran kelas pertama yang bercita-cita tinggi melangit untuk menakluk dunia. Tanpa mereka sedari minda dan jiwa mereka sebenarnya telah pun ditawan di awal-awal perjuangan. Jika ada sepuluh anak muda yang bercita-cita begini, sudah cukup untuk menghancurkan dan memusnahkan sebuah tamadun bangsa yang berlandaskan Islam Hadhari ini.
Sebagai rakyat kerajaan harus memperjelas sejelas-jelasnya perihal isu sebelum meletak titik noktah pada sesuatu keputusan. Jangan biarkan segala perasangka buruk yang berlegar dalam kepala rakyat terus menghantui mereka terhadap pemimpin.Pemimpin kena perjelaskan tanpa ada agenda tersirat. Telus biar mulus. Kekuatan kerajaan pada rakyat. Kerajaan tidak boleh mengubah rakyat, sebaliknya rata-rata seluruh dunia rakyat yang mengubah kerajaan.
Sekian.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home